Rasulullah SAW menggambarkan keindahan agama yang dibawanya dapat difahami daripada sebuah hadis yang bermaksud,
"Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan." (Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi) . Allah sukakan kecantikan dan seterusnya menggalakkan umatnya berhias dengan pakaian yang cantik untuk mengerjakan ibadah, seperti dalam firmannya yang bermaksud,
"Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke masjid (atau mengerjakan sembahyang), makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai akan orang-orang yang berlebih-lebihan (melampaui batas)." (Surah Al-A'raaf, ayat 31)
Manusia pun sentiasa sukakan sesuatu yang cantik. Mahukan pakaian yang cantik, perhiasan yang cantik, suami yang cantik (hensem la tu), isteri yang cantik, rumah yang cantik, kereta yang cantik dan macam-macam lagi. Binatang juga sukakan kecantikan, lihatlah burung merak yang kelihatan megah dengan bulunya yang cantik berwarna-warni, malah ayam jantan cuba memperagakan bulu dan badannya yang cantik untuk memikat ayam betina kerana ia tahu bahawa ayam betina sukakan kecantikan.
Cantik dan berhias itu memang dituntut Islam. Islam tidak suka umatnya selekeh, kusut masai dan tidak terurus. Rasulullah SAW sendiri seorang yang sangat kemas, kacak dan menarik sekali, malah senang mata apabila melihatnya. Sering dituntut malah menjadi kewajipan isteri berhias diri untuk tatapan suami tercinta. Apabila bercerita mengenai cantik dan semua orang hendak cantik, bertepatan pula dengan fitrah manusia yang memang hendak cantik saja dan asal cantik. Justeru, kemajuan perubatan mengambil kesempatan. Dengan penemuan moden dan kebolehan doktor membantu 'cepat cantik' dengan suntikan botoks dan sebagainya.
Dapat kita lihat pada masa kini, remaja dan kalangan artis dan isteri-isteri yang mula meningkat usia, demi cantik atau karier sanggup berbuat apa saja. Keinginan mahu cantik itu tidaklah salah tetapi yang kena difikirkan juga ialah caranya biarlah tidak bercanggah dengan syariat Islam. Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik. Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, hukumnya menjadi harus.
Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal. Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah an-Nisaa' iaitu
Allah berfirman yang bermaksud, "Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan, 'Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-hamba- Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka merubahnya.' Barang siapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata."