Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Khamis, 29 Julai 2010

KONTRAK SOSIAL

Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada persetujuan yang dicapai antara kaum(etnik) di Malaysia terutama sekali di kalangan kaum Melayu, Cina dan India. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan akan tetapi ia adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian. Beberapa peruntukan yang digubal dalam perlembagaan mengekalkan beberapa elemen penting yang menjadi tradisi sejak zaman sebelum penjajahan British lagi.

Para penggubal perlembagaan mengetengahkan elemen-elemen penting memandangkan peranan yang dimainkan amat penting dalam menjaga kestabilan negara terutamanya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum. Peruntukan itu adalah hasil proses tawar menawar pada asasnya merupakan semangat perjanjian di sebalik pembentukan perlembagaan tahun 1957. Inilah asas yang menjadi perjanjian sosial (kontrak sosial) di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Beberapa pengorbanan pemberian hak dan menghormati komuniti lain demi untuk keseimbangan dalam masyarakat satu Negara. Sebahagian besar ciri-ciri utama yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan adalah unsur kontrak sosial yang dipersetujui oleh semua pihak.

Elemen-elemen dalam perlembagaa menjadikan bangsa Melayu selaku bangsa asal yang mendiami Tanah Melayu memasukkannya ke dalam Perlembagaan bagi mengekalkan keistimewaan mereka iaitu institusi beraja, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jadi Perlembagaan juga merakamkan sifat-sifat asal negara itu merangkumi nilai tradisi, politik dan kebudayaan. Institusi beraja di Malaysia bermula sebelum kedatangan penjajah. Apabila Tanah Melayu dijajah, raja-raja negeri Melayu merasakan kedudukan mereka mula tergugat. Penjajah British memperkenalkan undang-undang beraja sebelum memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu pada tahun 1957 dan institusi beraja tetap diteruskan.

Raja-raja Melayu menggambarkan ciri-ciri asal negara Malaysia. Ia melambangkan kesinambungan sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti negara. Sebagai sebuah negara Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang menjadi dasar dan bentuk kepada upacara rasmi negara. Kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan yang unik.

Masyarakat Melayu sendiri juga bimbang dengan undang-undang yang diperkenalkan oleh British. Mereka risau kedudukan dan hak mereka sebagai penduduk pribumi akan tergugat dengan kemasukan begitu ramai pendatang dari negara China dan India. Kontark sosial antara kaum di Malaysia memberi kelegaan dan jaminan kepada masyarakat pribumi khasnya orang Melayu. . Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.

Kedudukan istimewa orang Melayu juga termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang menguatkuasakan undang-undang perlembagaan kepada undang- undang yang sedia ada, contohnya adalah undang-undang yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu, dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.

Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan pegangan orang Melayu di Malaysia. Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan:

“Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh

diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”

[Perkara 3: Perlembagaan Persekutuan]

Bahasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara dan kontrak sosial. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum dan keturunan yang bertutur dalam bahasa pertuturannya sendiri. Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan tidak pula mengenepikan bahasa lain. Perkara ini termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

My Blog List

Labels

visitor on line

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP